Followers

Tuesday, October 12, 2010

Herniorrhaphy





Herniorrhaphy (Hernioplasty, Hernia pembaikan) adalah prosedur pembedahan untuk memperbaiki hernia. Hernia adalah penonjolan organ atau tisu, yang menonjol melalui lubang abnormal pada dinding otot. Hernia boleh terjadi di abdomen, perut, dan di lokasi pembedahan terdahulu.


Pada 26 Ogos yang lalu, tepat jam 4.00 petang, saya telah ditolak masuk ke bilik pembedahan Hospital Sultanah Bahiyah untuk menjalani pembedahan hernioorrhaphy ini. Saya telah mengalami sakit di bahagian inguinal sejak dari lepas SPM lagi. Tetapi pada awal tahun ini baru saya mendapatkan pemeriksaan doktor. Itupun selepas didesak oleh kawan-kawan serumah.


Sehari selepas pembedahan, saya dibenarkan pulang ke rumah. Tetapi malangnya saya menghadapi post operative complications (komplikasi selepas pembedahan) iaitu spinal headache (sakit kepala spina). Ini adalah kerana doktor telah menasihati saya untuk baring di atas katil sekurang-kurangnya 6 jam selepas pembedahan untuk menstabilkan dan mengelakkan cerebrospinal fluid (air tulang belakang) daripada leaking (bocor) kerana saya telah dibiuskan (anaesthesia) secara lumbar puncture (injeksi di bahagian lumbar). Tetapi seingat saya dalam tempoh 6 jam itu saya ke tandas 3-4 kali.


Saya kemudian dibawa kembali ke hospital dan doktor menasihatkan agar saya mengambil caffeine (kopi) dalam jumlah yang banyak untuk melegakan sakit kepala. Alhamdulillah, setelah seminggu sakit kepala saya mulai reda.


Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mendoakan saya tempoh hari. Untuk tempoh 3 hingga 6 bulan, doktor tidak membenarkan saya terlibat dalam apa jua jenis sukan dan melarang saya daripada mengangkat barang yang terlalu berat untuk mengelakkan penyakit ini akan berulang lagi.




Sebelum :D

Selepas :(

Thursday, June 24, 2010

Teruskan Melangkah !!!

Entri kali ini ditujukan kepada semua kawan-kawan dan adik-adik sePCT yang sedang bertarung dengan peperiksaan.

Kita sudah berusaha bersungguh-sungguh walaupun kadang-kadang malas datang tanpa diundang.

Kita sudah berusaha memerah otak habis-habisan dalam peperiksaan walaupun masih ada juga yang lupa.

Tapi kita kena ingat kita ada Yang Maha Sempurna dari segala kekurangan.

Berdoalah.

Hanya Dia yang boleh mengubah segalanya.

Hayatilah lagu di bawah sebagai kata-kata motivasi.

"Tak dilontarkannya ujian di luar kekuatan setiap insan"



Langkah Tercipta

Semalam aku kelukaan
Kecewa kehampaan
Mencalar ketabahan
Mimpi yang seringku harapkan menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian

Allah…
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam lemah daya
Haruskah aku mengalah
Namun jiwaku berbisik inilah dugaan

Dan langkahku kini terbuka
Pada hikmah dugaan uji keimanan (menguji keimanan)
Tak dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan

Allah…
Pimpinlah diriku,
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan........
Agar mimpi jadi nyata..
padaMu ku meminta

Daku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu

Thursday, June 3, 2010

Nikmat Yang Dua Itu (Repost Edition)

190px-Canker_soreBukan mulut saya

Sudah seminggu lebih mulut saya dijangkiti ulser.

Mula-mula dua, lepas tu tumbuh lagi satu.

Tiga-tiga dekat bibir bawah saya.

Akibatnya, makan tak selera.

Nak senyum pun payah.

Kalo orang buat lawak pun buat-buat senyum sebab nak jaga hati.

Tahi Penyakit

Dari kecil lagi saya ni memang yang mudah dijangkiti penyakit. Kecil-kecil dulu saya selalu demam, selesema dan macam-macam lagilah. Imuniti rendah. Sampai mak saya cakap “Hang ni memang taik (baca tahi) penyakit,”.

Perkara ini berlarutan semasa saya di sekolah menengah, di Darul Quran, dan sehinggalah saya di sini. Semasa di tahun 1 dan 2 dulu, saya selalu sangat demam. Tapi tahun 4 ini alhamdulillah kurang sikit. Tetapi semasa saya di tahun 2 dulu, saya pernah dijangkiti bronchopneumonia.

Macam-macam

Macam-macam respon yang saya dapat bila saya letak status berkenaan ulser saya ni di YM dan Facebook.

Ramai yang mendoakan agar saya cepat sembuh.

Ada yang kata Allah nak kifarah dosa la tu.

Ada yang kata Allah sedang bermain teka-teki dengan hambaNya.

Ada yang suruh saya minum air masak banyak-banyak.

Ada yang suruh saya letak ubat bonjela atau daktarin.

Ada yang suruh saya letak GARAM!!!

Apapun, terima kasih atas doa, nasihat, dan petua kalian. Saya amat menghargainya.

Nikmat Yang Dua Itu

Tapi saya tak boleh lupa yang dua ini.

Dalam kitab Riyadus Solihin di bawah Bab Mujahadah, Ibnu Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُوْنٌ فِيْهِمَا كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ : الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: Dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia iaitu sihat dan kelapangan. [Hadis Riwayat Al-Bukhari, nombor hadis : 97, muka surat 312]

Ya sahabat-sahabat sekalian, apabila kita sakit baru lah kita ingat betapa berharganya nikmat sihat yang Allah SWT kurniakan. Ketika itu barulah kita ingat betapa sedapnya makanan yang kita makan sehari-harian.

Apabila kita sibuk baru lah kita ingat betapa besarnya nikmat kelapangan yang telah kita sia-siakan dengan perkara yang tidak bermanfaat. Bagi mereka yang sedang menghadapi peperiksaan ketika inilah baru dirasakan nikmat kelapangan semasa awal tahun dahulu.

Betul la apa orang cakap, berharganya sesuatu perkara apabila ianya tiada.

Absence makes heart grows fonder.

Terima kasih Allah.

Wednesday, March 24, 2010

1001 Inventions

1001 Inventions-Muslim Heritage in Our World

"Apip, apa cerita buku Dr. Safwat aritu?" soal Azhan semasa kami minum-minum di El-Kookh pagi tadi.

"Oh, buku tu dah siap semak dah. Tinggal nak buat design je," jawab Afif.

Di antara projek batch saya tahun lepas adalah menterjemahkan buku 'The Scientific Miracle of Qur'an (Embryology)' karangan Professor Doktor Safwat El-Deeb, Pensyarah Jabatan Anatomi & Embriologi di universiti kami. Hingga kini, buku itu masih dalam proses pembikinan sebelum kerja-kerja percetakan dilakukan. Doakan segala urusan dipermudahkan seterusnya dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar perubatan Islam khususnya dan masyarakat Muslim amnya.

1001 Inventions

Semasa bercuti di UK baru-baru ini, saya dan rakan-rakan berpeluang ke Science Museum di sana. Secara kebetulan, muzium tersebut sedang mengadakan pameran berkenaan penemuan-penemuan Islam dalam dunia kita hari ini. Saya amat tertarik dengan pelbagai penemuan dalam hidup kita seharian yang pada asalnya ditemui oleh ulama' Islam pada zaman dahulu. Dalam pameran tersebut, ia dibahagikan kepada tujuh perkara asas yang utama iaitu rumah, sekolah, hospital, pasar, bandar, dunia, dan semesta yang semua ini ditemui oleh orang Islam.

Oleh kerana terlalu banyak maklumat yang saya tertarik tetapi dihadkan dengan kemampuan otak saya untuk menerima semua maklumat itu dalam satu masa, saya mengambil keputusan untuk membeli sahaja segala maklumat tersebut dalam 1 buku yang bertajuk '1001 Inventions-Muslim Heritage in Our World'. Di sini saya akan ceritakan serba sedikit tentang tujuh perkara asas yang disebutkan tadi.

Rumah

Kita akan menemukan di mana kopi itu berasal, yang menggunakan deodoran seribu-tahun-lalu, jam setinggi tujuh meter, hiburan di rumah pada zaman pertengahan, asal-usul tiga jenis hidangan dalam makanan, dan muzik.

Sekolah

Kita akan menjelajah asal-usul universiti, menggali lokomotif intelek Baghdad, dan mengagumi bagaimana semua bangsa dan agama bekerja sama untuk menguntungkan semua pihak.

Hospital

Membuka mata kita untuk pembedahan rumit dan kompleks seperti pembedahan katarak menggunakan instrumen bedah satu milenium yang lalu. Mengetahui di mana vaksinasi teratur, jahitan dalaman dan asal-usul semua hospital-hospital mengajar.

Pasar

Mengikuti perkembangan pesat perdagangan antarabangsa berdasarkan sumber tenaga yang terbaru dan pertanian yang maju serta teknik pertanian Muslim abad pertengahan. Ini semua menyediakan peluang pekerjaan dari Toledo ke Delhi, pada saat syiling arab sedang ditiru di Inggeris dan cek diterima sebagai legal tender di Timur.

Bandar

Berjalan melalui bandar Muslim seribu tahun lalu di atas laluan pejalan kaki. Kita juga boleh mengetahui dari mana datangnya bangsal atau rumah kaca, siapa yang bertanggungjawab mencipta khemah besar, dan Pemikiran Sir Christopher Wren tentang senibina Muslim.

Dunia

Mengetahui siapa yang menerangkan tentang konsep pelangi dan air pasang surut, kajian tentang mineral, laut dan gunung, dan bermusafir dalam jarak yang jauh menggunakan peta yang mempunyai seni tersendiri dan alat penunjuk arah, dalam masa yang sama membuktikan bahawa Bumi berbentuk sfera.
Kemudian pada masa senggang, Muslim pada abad pertengahan juga mendedahkan kita kepada dekripsi, peluru berpandu, dan sistem pos.

Semesta

Mencari pengalaman dengan kapal terbang buatan manusia yang berjaya berusia 1200 tahun. Mempelajari tentang langit yang mana telah dipetakan dengan tepat dengan alat-alat astronomi yang canggih, rumit, dan kompleks di bawah pengamatan seribu tahun lalu.

Salah seorang daripada kami memberi cadangan supaya bab hospital di dalam buku ini juga diterjemahkan sebagai projek batch kami pada tahun ini. Idea yang sangat bagus tetapi pelaksanaannya yang memerlukan kepada pengurusan yang baik. Kita lihatlah sejauh mana projek ini berjalan kerana setakat ini ianya masih di peringkat cadangan.

Di bawah ini saya sertakan video yang kami tonton di muzium tersebut kepada anda sebagai pencetus minat untuk kita lebih mengkaji tentang ilmu-ilmu Islam pada zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu.


Saturday, March 20, 2010

Hikmah Di Sebalik Ujian

aaf kepada anda semua kerana sudah lama saya tidak menulis. Bukannya kekeringan idea, malah banyak perkara yang ingin saya kongsikan bersama anda cuma hanya tidak bekesempatan. Entah apa yang sibuk dengan diri ini saya pun tak tahu. Mungkin masa yang ada tak berkat barangkali. Mohon kepada Yang Memberi Masa agar masa yang ada lebih diberkati.

الواجبات أكثر من الأوقات
"Kewajipan yang ada lebih banyak daripada masa yang ada"

Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang satu peristiwa yang berlaku ke atas diri saya semasa bercuti di UK & Paris semasa cuti musim sejuk yang lalu. Sudah banyak kali Azhan meminta saya menulis tentang peristiwa ini di blog kerana katanya sebagai pengajaran untuk semua, tetapi oleh kekangan masa, peperiksaan, dan program menyebabkan saya tidak dapat berbuat sedemikian. Namun, saya tidaklah bercadang untuk berkongsi dengan anda tentang peristiwa tersebut sahaja, akan tetapi saya akan turut berkongsi tentang episod-episod kejadian yang menjadi ujian dalam hidup saya sebelum daripada peristiwa tersebut. Sejak kebelakangan ini saya seringkali dikaitkan dan diuji oleh Allah dengan peristiwa barang yang hilang. Tidak kiralah barang itu kepunyaan saya sendiri mahupun kawan saya.

Cerita 1


Semasa pulang bercuti pada cuti musim panas yang lalu, saya telah menempah sebentuk cincin perak berbatu merah. Batu itu dibeli di Sabah oleh abang saya semasa beliau dan emak saya bercuti di sana. Inilah pertama kali saya menempah cincin perak. Sebelum ini hanya dibeli sahaja di kedai-kedai tepi jalan. Tak silap saya harga tempahan cincin tersebut ialah RM100 dan ke atas. Saya sudah lupa the exact price.

2 hari sebelum flight saya ke Mesir, cincin itu hilang. Sehari sebelum itu, saya pergi beraya di rumah kawan. Ada saya minta tolong beliau carikan di rumahnya tapi tidak ketemu. Habis satu rumah saya geledah. Habis juga satu rumah kecoh dengan perkara itu. Mama, abah, adik, abang, dan kakak saya turut membantu walaupun kadang-kadang kata-kata yang pedih merayap di telinga saya dek kecuaian yang telah dilakukan.

Tidak dilupakan kepada Yang Maha Mendengar. Saya tidak putus-putus memanjatkan doa agar ujian yang dihadapi dan doa yang dibaca didengar oleh Allah SWT. Selepas solat Asar petang itu, saya sekali lagi menadah tangan memohon petunjuk daripada Allah SWT. Cuma yang berbezanya pada kali ini saya dapat rasakan doa yang saya minta ini lebih bersungguh dari sebelumnya. Selepas mengaminkan doa, mata saya tertarik dengan kilauan cahaya yang datang dari bawah meja solek di depan tempat saya menunaikan solat. Hati tergerak untuk mengetahui apakah benda tersebut. Alangkah gembiranya saya apabila cahaya yang berkilau itu datangnya dari cincin yang dicari-cari selama ini. Lidah saya tak putus-putus mengucap Alhamdulillah memuji Allah kerana doa saya telah dimaqbulkan.

Cerita 2


Peristiwa yang kedua ini berlaku pada hari saya hendak datang ke Mesir. Saya dan kawan sekelas saya, Iman akan menaiki pesawat yang sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Setelah selesai urusan check-in, kami berpakat untuk masuk ke departure hall lebih lewat kerana ingin mengambil peluang seluas-luasnya untuk bersama keluarga masing-masing. Setelah bersalam-salaman dengan ahli keluarga masing-masing, saya pun melangkah masuk menuju ke dalam. Tetapi saya lihat Iman sedang mencari-cari sesuatu di dalam beg beliau.

"Zul, sat Zul," pinta beliau dengan wajah yang pucat.

"Kenapa ni?" tanya saya.

"Pasport Iman hilang," jawab emak beliau.

"Ha?? Camna boleh hilang?" soalan saya yang tiada jawapan. Maka bermulalah aktiviti mencari pasport di situ. Tinggal berapa minit sahaja lagi sebelum pesawat berlepas. Emak saya menyuruh saya check di dalam beg takut-takut terambil semasa urusan check-in tadi. Emak Iman turun ke surau di tingkat bawah tetapi tidak juga ketemu. Adik beliau, Ihsan juga turut mencari. Emak saya meminta saya bacakan doa yang saya baca ketika cincin saya hilang tempoh hari. Dengan penuh mengharap, saya meminta agar Allah ketemukan pasport itu kepada kami. Akhirnya, Ihsan menjumpai pasport tersebut di dalam troli yang digunakan untuk urusan check-in tadi. Alhamdulillah..

Cerita 3

Suatu hari semasa saya hendak ke Kaherah, barulah saya perasan yang pasport saya hilang. Selalunya saya akan letakkan di dalam bakul kecil di atas meja saya sekali dengan dompet, kunci, telefon bimbit, dan sebagainya. Selepas pulang dari Kaherah saya mulakan operasi mencari pasport saya bermula dari dalam bilik sehingga ke rumah-rumah kawan saya di sini. Saya berpesan kepada mereka jika menjumpai pasport saya silalah maklumkan kepada saya secepat mungkin. Ini adalah kerana saya khuatirkan keselamatan saya menetap di negara orang dengan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Setelah beberapa minggu berusaha dan berdoa, akhirnya Allah menemukan saya dengan pasport saya. Dalam sujud terakhir solat pada hari itu, saya memohon kepada Allah dengan hajat tersebut. Dengan taqdir Allah, selepas saya memberi salam kedua, mata saya memandang tepat ke salah satu beg plastik Vodafone yang terletak di atas rak buku saya. Saya tergerak untuk membuka beg plastik itu, dan alhamdulillah, pasport saya telah ditemui. Barulah saya teringat yang saya terlupa untuk mengeluarkan pasport itu selepas urusan di Pusat Vodafone.

Cerita 4

Setelah selesai urusan membeli tiket kapal terbang untuk ke UK, saya dan Faqih bercadang untuk membuat International Student Identity Card. Orang kata dengan adanya kad ini segala tiket untuk masuk ke sesuatu tempat di sana nanti akan mendapat diskaun. Saya kirimkan saja urusan tersebut kepada kawan saya, Fawwaz yang kebetulan hendak ke Kaherah pada petang itu. Jam sudah menunjukkan pukul 1 lebih. Train Fawwaz ke Kaherah pukul 1.30 petang. Saya pun bergegas menaiki teksi dan berjanji untuk berjumpa dengan beliau berdekatan dengan rumah beliau. Semasa dalam teksi, beliau ada menghubungi saya. Setelah membuat bayaran kepada pemandu teksi tersebut, saya pun bergegas menuju kepada beliau. Tiba-tiba..

"Eh, mana pasport Faqih??" soal saya sendirian.

"Tak tau. Abang bawak tak tadi?" soalan saya dibalas dengan soalan.

"Bawak," jawab saya lemah.

Saya rasa sangat bersalah. Dalam tempoh sepuluh 12 hari itu, pelbagai usaha telah diambil termasuk membuat pasport sementara Faqih di Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, menempah tiket untuk Faqih pulang ke Malaysia, membatalkan tiket beliau ke UK, dan bermacam-macam lagi. Usaha kami untuk menjejaki teksi yang saya naiki tempoh hari seakan-akan mustahil kerana saya tidak ingat nombor plat dan muka pemandu teksi tersebut. 12 hari yang dilalui seakan-seakan 12 bulan lamanya.

Tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Saya tidak putus-putus untuk berdoa. Akhirnya, keajaiban yang dinantikan akhirnya muncul juga. Kebetulan seorang mahasiswa Indonesia yang mengusahakan restoran di tempat kami telah menaiki teksi yang sama semasa dalam perjalanan ke pasar. Beliau yang meyerahkan pasport itu kepada Faqih. Saya menyempurnakan puasa nazar saya dan sebagai tanda syukur.

Cerita 5

"Allah! Azhan, pasport aku!!" beritahu saya.

Tanpa banyak berbicara, saya berlari dan berpatah balik ke tandas yang saya gunakan tadi untuk mengambil wudhuk. Memang saya ingat saya telah letakkan beg merah kecil yang berisi pasport dan boarding pass di atas sinki di dalam tandas tersebut. Tetapi saya amat kecewa apabila saya dapati beg merah itu sudah tiada! Tinggal setengah jam lagi sebelum pesawat berlepas. Saya mula cuak. Badan saya sudah mula berpeluh-peluh walaupun cuaca di Lapangan Terbang Heathrow sangat sejuk. Di surau tiada, dengan security pun tiada.

Tinggal 20 minit lagi. Akhirnya Fawwaz bersetuju untuk menemani saya mencari sekali lagi. Sekali lagi kami ke tandas, ke surau, dan ke tempat lost and found. Tetapi tidak berhasil.

"Fawwaz, dah la. Gate closing dah tu," akhirnya saya membuat keputusan untuk bersuara sambil menunjukkan jari ke arah information board.

"Aah, jom la," balas Fawwaz.

Semasa perjalanan menuju gate yang agak jauh itu, kami berjalan kepenatan. Masing-masing bisu. Beratnya ujian yang Allah timpakan ke atas diri saya. Dalam kotak fikiran saya, saya sudah memikirkan yang saya akan berpatah balik ke rumah kawan saya, Hamid dan Eg di London dan menyiapkan pasport baru serta menempah tiket lain ke Mesir yang akan memakan kos yang entah berapa. Tiba-tiba..

"Zul! Zul! Ada ni, ada kat sini!" jerit Faqih sambil menunjuk ke arah kaunter di gate kami.

"You are very lucky man today," beritahu pegawai tersebut.

Saya hanya mampu tersenyum. Tapi senyuman saya hambar. Nak menangis pun ada. Pemurahnya Allah. Dia masih mahu menolong hambaNya yang penuh dengan dosa ini.

"Dah la tu. Yang penting kita dah jumpa," tegur Azhan seakan-akan memahami.

Kenangan di Heathrow Airport bersama Hamid & Eg

Konsep Tawakkal

Inilah doa yang sahabat saya ajar ketika barang hilang :

يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ ضَالَّاتِيْ
"Wahai Pengumpul sekalian manusia pada hari yang tiada keraguan padanya (hari kiamat), Kau temukanlah aku dengan (barang-barangku) yang hilang"

Berdasarkan kelima-lima peristiwa yang saya alami sendiri di atas, saya dapat simpulkan bahawa setiap doa kita didengari Allah. Cuma cepat atau lambat saja untuk perkara itu dimakbulkan. Janganlah kita mudah berputus asa sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakkal kepada Allah dalam setiap bidang yang kita ceburi. Semoga tulisan saya kali ini dapat diambil pengajaran dan motivasi bagi kita yang akan menempuhi peperiksaan tak lama lagi.


Saturday, January 30, 2010

Mama & Mitokondria

Di airport Alor Setar sebelum balik Mesir

kejayaan yg dikecapi skrg bermula dr kesusahan seseorang..hargai selagi dia masih di depan mata, komen Guest45279 di ruangan shoutbox saya. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau kerana mengingatkan saya tentang ibu. Saya tidak pernah lupa pengorbanan ibu saya. Saya selalu menghubungi beliau melalui telefon. Paling kurang pun sekali seminggu. Kadang-kadang seminggu berkali-kali. Tambah-tambah saya yang belajar di negeri orang.

Cerita Pasport

Baru-baru ini, saya menelefon ibu saya untuk memberitahu beliau yang saya dengan tidak sengaja telah mencicirkan pasport teman serumah saya, Faqih ketika menaiki teksi di Tanta. Tujuan saya memberitahu itu ialah tidak lain tidak bukan untuk meminta beliau doakan agar Allah mempermudahkan urusan saya dan ketemukan kembali saya dengan paspot itu. Alangkah terkejutnya saya apabila ibu saya yang bertanya dulu tentang pasport itu.

"Ha, awat Mi? Dah jumpa pasport?" soal ibu saya.

Saya tersentak.


"Aik? Mama tau mana?" balas saya dengan soalan.


"Orang dah siap doa dah pun. Sembahyang hajat pun dah," kata Mama.


Alangkah malunya saya. Perkara yang saya cuba rahsiakan dari pengetahuan beliau, tetapi lebih awal beliau bertindak dan berdoa. Begitulah hebatnya rasa hati seorang ibu. Walau di mana kita berada, ibu kita sentiasa mendoakan kita. Walaupun akhirnya saya tahu bahawa Mama tahu cerita pasport itu melalui Facebook abang saya, tetapi saya masih percaya dengan rasa hati seorang ibu.


Dan alhamdulillah, pada Isnin lepas pasport itu telah dijumpai. Kebetulan ustaz yang berniaga di Restoran Ittihad telah menaiki teksi yang saya naiki tempoh hari. Lalu pemandu teksi menyerahkan pasport itu kepada beliau. Alhamdulillah, berkat doa Mama.


Anda

Saya tak pasti anda bagaimana?

Adakah anda selalu menghubungi ibu anda?

Selalu bertanya khabar tentang beliau?

Atau bagaimana?


Apakah tanggungjwab seorang anak kepada ibunya?


Kenapa kita mesti taat kepada ibu kita?

عن أبى هريرة رضى الله عنها قال جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال يا رسول الله من أحق الناس بحسن الصحبة؟ قال أمك ثم أمك ثم أمك ثم أباك ثم أدناك أدناك (رواه البخارى ومسلم)؛

Maksudnya : Daripada Abi Hurairah Radhiy Allahu Anhu berkata : "Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling layak untuk aku bersahabat dengannya? Baginda menjawab : Emakmu, kemudian emakmu, kemudian emakmu, kemudian bapamu dan seterusnya orang yang terdekat denganmu, terdekat denganmu." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Forensik

Dalam ilmu forensik pula, teknologi DNA merupakan salah satu cara untuk menyiasat identiti sebenar seseorang. Salah satu daripadanya ialah dengan menganalisis DNA mitokondria dalam sel badan manusia. Mitokondria adalah struktur yang berfungsi sebagai tapak penghasilan tenaga sel.


Setiap orang daripada kita mempunyai DNA mitokondria yang sama dengan adik-beradik kita yang lain. Hal ini adalah kerana mitokondria setiap embrio yang baru diperoleh daripada telur (ovum) ibu kita semasa proses persenyawaan (fertilization). Sperma si ayah hanya menyumbang DNA nukleus dalam sel manusia kerana tenaga yang terdapat dalam mitokondria pada bahagian ekor sperma telah habis digunakan semasa sperma berenang menuju ke ovum.

Hanya bahagian kepala (nukleus) sahaja yang berjaya menembusi dinding ovum dan bukannya ekor (mitokondria)

Hikmah

Kebiasaannya, bilangan mitokondria lebih banyak daripada nukleus dalam sesuatu sel untuk memastikan tenaga yang diperlukan oleh sel adalah mencukupi. Ini bermakna segala tenaga yang kita punyai sekarang adalah warisan daripada ibu kita. Mungkin inilah hikmah Allah menyuruh kita berbuat baik kepada ibu 3 kali lebih banyak berbanding ayah dalam hadis tadi.


Maha Suci Allah yang menciptakan sesuatu bukan untuk tujuan yang sia-sia.


Bagi teman-teman yang sudah lama tidak menghubungi ibu anda, silalah berbuat demikian selagi dia masih di depan mata, bak kata salah seorang pelawat blog saya.

Thursday, January 14, 2010

Tato

Tato

Apakah yang anda tahu tentang tato?

Bagaimanakah tato dibuat?

Adakah Islam membenarkan umatnya membuat tato?

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan saya dengan anda tentang penggunaan tato dari aspek perubatan dan hukumnya di sisi Islam. Secara kebetulan, saya sedang belajar subjek perubatan forensik dan toksikologi klinikal di kuliah dan pernah mengikuti kelas Ustaz Salman tentang kedudukan tato di sisi Islam.

Aspek Perubatan*

Mari kita lihat apakah yang dibincangkan mengenai tato ini dalam bidang perubatan.

Definisi : Hal ini dilakukan dengan menyuntikkan bahan pewarna tertentu (misalnya anilina) ke dalam lapisan kulit secara kekal ditetapkan oleh histosit.

Kepentingan tato dalam aspek perubatan :
1 - Menunjukkan nama, alamat, agama, tarikh lahir dan tempat seseorang.
2 - Memberikan sebuah idea tentang persekitaran dan latar belakang sosial seseorang.
  • Tato pada umumnya dipraktikkan oleh masyarakat kelas bawah.
  • Dalam penagih tato , mereka berlatih untuk menyembunyikan halaman injeksi.
3 - Pembuangan tato oleh pembedahan atau zat kaustik akan meninggalkan bekas luka.

Di Sisi Agama**

Definisi : Mencucuk jarum pada badan sehingga mengalir darah, kemudian diletakkan padanya (tempat yang dicucuk) dengan celak.

Hukum : Haram

Dalil :

1) Al-Quran

وَلَأَمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللهِ وَمَنْ يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِنْ دُوْنِ اللهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِيْنًا

"Dan aku akan suruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata."
[An-Nisaa', 4:119]

2) Hadis

وعن ابن مسعود رضى الله عنه قال : (لعن الله الواشمات والمستوشمات والنامصات والمتنمصات والتمفلجات للحسن المغيرات خلق الله

Daripada Ibn Mas'ud Radhiyallahu 'Anhu, beliau berkata : (Allah telah melarang pembuat tato dan yang orang meminta tato dibuat ke atas dirinya, penyambung rambut dan orang yang meminta rambutnya disambung, dan orang yang merenggangkan gigi untuk tujuan perhiasan, mengubah ciptaan Allah...)
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nombor Hadis : 1645 dalam Riyadus Solihin]

Al-Qurtubi berkata : Pengharaman tato ini adalah disebabkan ianya bersifat kekal, kerana ianya salah satu daripada cara mengubah ciptaan Allah. Jika ianya tidak bersifat kekal seperti celak untuk perempuan yang berhias dengannya (celak) maka ulama telah mengharuskan.

Manakala berdasarkan pengertian Abu Daud tentang tato ialah sesiapa yang membuat tahi lalat pada wajah dengan celak atau dakwat (titik hitam pada pipi atau dahi) maka ianya termasuk dalam kategori perkara yang ditegah. Ini adalah kerana ianya salah satu daripada penipuan dan pemalsuan.

Berkata pula Imam Nawawi : Taubat daripadanya ialah menghilangkannya (tato) dengan kadar seberapa segera, kecuali khuatir jika ianya mendatangkan kemudaratan pada anggota badan (selepas proses pembuangan itu).

Sekadar Perkongsian

Begitulah perkongsian saya tentang tato dari aspek perubatan dan Islam. Kesimpulannya, masih banyak lagi yang kita perlu tahu tentang hukum hakam perkara-perkara yang berkait rapat dengan perubatan. Bagi teman-teman dan adik-adik di Mesir, manfaatkan keberadaan kita di bumi anbiya' ini sekadar yang termampu untuk menambah pengetahuan tentang kefahaman Islam tanpa meremeh-temehkan core business kita di sini sebagai pelajar perubatan.

*Rujukan : Forensic Medicine, Staff Members of Forensic Medicine and Clinical Toxicology Department, Faculty of Medicine, Tanta University, 2009-2010.
**Rujukan : Haza Halal wa Haza Haram, Abdul Qadir Ahmad A'atha

Sunday, January 10, 2010

TURKIYE : Final Edition


Pusing-pusing Istanbul dengan double-decker

Muzium Turki & Kesenian Islam

Set alat tulis Zaman Khalifah Othmaniyah Abad ke-19

Berlatar belakangkan Masjid Biru

Azhan sedang ulang sirah Abu Ayyub Al-Ansori supaya kami lebih menghayati

Makam Abu Ayyub Al-Ansori

Sekitar Eyyub Mosque

Buah-buahan yang segar

In front of Istanbul University

Sebelum naik feri nak ke Bursa

Kecewa setelah tertipu hidup-hidup dengan Faqih sebab dia cakap ada salji sepanjang tahun

Inside the cable car

Muka tak sabar nak makan Iskandar Kebab

Nah!! Siapa pergi Turki memang rugi kalau tak makan yang ini

Sunset view from our hotel

Shopping at Grand Bazaar

Fatih Sultan Mehmet The Conqueror

Galata Tower

View from Galata Tower

Turkiye!!

Balik Ekmek Restaurant (Restoran Roti Ikan)

Kami balik dulu Sham!!

Tapi masing-masing menyimpan azam untuk pergi lagi.

Itulah Turki.

TAMAT.