Followers

Tuesday, June 16, 2009

Cerita Tentang Babi

W


Setelah terbaca entri babi oh babi dalam laman blog Ustaz Salman Maskuri, saya tergerak untuk menulis serba sedikit tentang haiwan ini. Namun saya tidaklah berniat untuk mengulas tentang virus H1N1 tentang selsema babi yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Terdapat 3 jenis parasit yang dipindahkan ke dalam badan manusia daripada babi. Antaranya ialah Taenia solium, Trichinella spiralis, dan Balantidium coli. Pada entri kali ini, saya hanya akan membincangkan tentang Taenia solium, sejenis parasit di bawah kumpulan Cestoda.

SISTISERKOSIS

Penyakit yang disebabkan oleh parasit ini dinamakan sistiserkosis. Ia adalah penembusan tisu-tisu pada badan manusia oleh sistiserkosis selulosa (peringkat larva dalam Taenia solium). Penyakit ini lazimnya didapati di negara-negara yang penduduknya gemar memakan babi.

BAGAIMANA IA BERJANGKIT?

Ia boleh berjangkit melalui pelbagai cara. Pengambilan makanan atau minuman yang tercemar oleh telur-telur parasit ini juga boleh menyebabkan seseorang terkena penyakit ini.

Selain itu, salah satu cara jangkitan lagi ialah autoinfeksi. Terdapat 2 jenis autoinfeksi; luaran dan dalaman. Autoinfeksi luaran bermaksud pesakit yang tercemar pada jari-jarinya dengan parasit dewasa daripada najisnya sendiri.

Manakala autoinfeksi dalaman pula bermaksud pergerakan antiperistalsis pada usus kecil (dalam kes muntah atau pengambilan ubat tahan muntah), segmen gravid dan ovum mungkin terluah kembali ke dalam perut manusia. Segmen ini akan pecah dan membebaskan telur-telur parasit ini. Apabila kembali ke dalam usus kecil, telur-telur ini menetas.

Dalam kes ini, onkosfera akan menembusi dinding usus dan seterusnya masuk ke dalam kitaran vena, bahagian kanan jantung, peparu, bahagian kiri jantung, dan akhirnya ke dalam kitaran sistemik di mana mereka akan berakhir di tisu-tisu yang pelbagai dan membesar kepada sistiserkosis. Tisu-tisu yang paling dijangkiti ialah tisu di bawah kulit, otot, organ dalaman, otak, dan mata.

BAGAIMANA KEADAAN PESAKIT?

Sista ini menghasilkan reaksi sel setempat dan penyusupan dengan neutrofil, eosinofil, dan limfosit. Gambaran klinikal bergantung kepada organ-organ yang dijangkiti dan bilangan sistiserkosis. Dalam organ-organ yang utama (jantung dan otak) manifestasi yang serius berlaku dan mungkin menyebabkan mati; dalam otot rangka pula, jangkitan dan kesakitan pada otot berlaku. Secara amnya, terdapat demam yang sedikit dan eosinofilia (kenaikan eosinofil dalam darah)

HIKMAH PENGHARAMAN

Firman Allah S.W.T :

إِِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيْرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غّيْرَ بَاغٍ وَلاَ

عَادٍ فَلاَ إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللهَ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ

“Allah hanya sanya mengharamkan kepadamu untuk memakan bangkai, darah, babi dan binatang yang disembelih untuk selain Allah. Sesiapa yang makan dalam kemudaratan tanpa melampau dan tanpa berlebih-lebihan maka dia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan maha penyayang. (173 : al-Baqarah)

Berdasarkan fakta-fakta sains di atas dapat disimpulkan bahawa setiap yang berlaku itu ada HIKMAHnya. Namun adalah salah sama sekali jika kita mengatakan SEBAB pengharaman babi adalah seperti di atas kerana jika para saintis tidak menjumpai penyakit ini, maka babi itu tidak haram. Pokoknya, jika para saintis menjumpai atau tidak penyakit ini, hukum babi itu tetap haram kerana ianya adalah perintah Allah.

No comments:

Post a Comment