Yang Tua Dihormati Yang Muda Disayangi

Saturday, November 7, 2009

Bersama super senior Tanta, Doktor Hamzah

" Kena bagi buleh sungguh-sungguh skills praktikal sebelum masuk H.O. Nanti masa H.O mana dan dah nak belajaq semua tu. Kalau tak, jadi macam saya dulu," pesan Dr Hamzah dalam loghat utaranya.

Itulah pesanan yang berkali-kali disebut sepanjang pertemuan saya dengan Dr Hamzah pada cuti musim panas yang lalu. Beliau merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia tajaan JPA yang menjadi generasi terawal menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Tanta, Mesir pada sekitar tahun 1974.

Pertemuan yang singkat pagi itu saya gunakan sepenuhnya untuk berkongsi pengalaman dengan beliau. Bagaikan seorang ayah memberi nasihat kepada anaknya. Kini beliau sudahpun menamatkan perkhidmatannya sebagai doktor. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di Pejabat Kesiahatan Sik, Bandar Baharu, dan Kota Setar. Di antara sahabat-sahabat beliau pada masa itu ialah Dr Tuan Yusoff, ayah kepada Tuan Ashraf pelajar perubatan Tanta tahun 2 sekarang dan Dr Rusdi, ayah kepada Muhammad Fathurrahman yang juga ahli bait saya.

Seronok mendengar cerita orang tua-tua. Tetapi keadaan pada masa itu amat berbeza dengan sekarang. Beliau berpesan kepada saya dan rakan-rakan di Tanta sekalian agar rajin belajar, seeloknya apa yang dipelajari pada hari tersebut hendaklah disettlekan pada hari itu juga. Tambah beliau lagi, fokuskan kepada past year questions untuk menghadapi peperiksaan. Practical skills hendaklah dikuasai sebelum masuk alam pekerjaan dan bagi yang berpeluang untuk pulang ke Malaysia pada masa cuti digalakkan untuk membuat attachment. Akhir sekali beliau kirim salam kepada sahabat semua.

Moga Ada Manfaat.
READ MORE -

Berzakat Membawa Berkat

Monday, September 14, 2009

Kad Kuasa

"Inilah zakat fitrah yang wajib ke atas saya dan tanggungan saya pada tahun ini kerana Allah Taala," lafaz salah seorang pembayar zakat.

"Saya terima zakat fitrah ini bagi pihak Jabtan Zakat Negeri Kedah kerana Allah Taala," sambut saya dan seterusnya disusuli dengan doa agar ibadah zakat itu mendapat keberkatan daripada Allah Taala.

"Semoga Allah memberi ganjaran ke atas apa yang kamu berikan, dan memberkati ke atas apa yang berbaki (dalam simpanan kamu), dan menjadikan kamu di kalangan orang-orang yang suci, ameen Ya Rabb 'aalameen," begitulah lebih kurang maksud doa yang dibacakan.

Moga-moga dengan zakat yang ditunaikan itu mendapat berkat di sisi Allah Taala. Kenapa keberkatan amat penting dalam kehidupan seharian? Kerana dengan keberkatan lah orang yang pendapatannya tak seberapa tetapi masih mampu menanggung keperluan hidup dengan bilangan anak-anak yang ramai. Berapa ramai orang-orang yang kaya raya tetapi wang yang ada masih dirasakan tidak cukup untuk menampung keperluan harian? Disitulah terletaknya nilai apa yang dinamakan sebagai KEBERKATAN..

Beginilah rutin tahunan saya semenjak tahun lepas apabila pulang bercuti di bulan Ramadhan. Syabas saya ucapkan kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah kerana mengambil inisiatif untuk membuka kaunter-kaunter zakat fitrah di pusat-pusat membeli belah seperti di Tesco, Giant, dan sebagainya sebagai usaha untuk mempermudahkan umat Islam di negeri Kedah khususnya untuk menunaikan RUKUN ISLAM yang ketiga dalam bulan yang berkat ini.

Antara soalan-soalan lazim yang saya terima ketika bertugas sebagai amil zakat fitrah ialah :

1) Bolehkah saya bayar zakat untuk kedua ibu bapa saya?

2) Adakah zakat pembantu rumah terletak di atas tanggungjawab saya?

3) Perlukah saya membayar zakat untuk bayi yang masih dalam kandungan?

4) Perlukah saya membayar zakat untuk arwah ibu atau bapa saya?

Dan banyak lagi soalan-soalan mencabar kerana ia bukanlah dalam bidang saya. Namun, saya terpaksa bersedia dengan soalan-soalan ini dan secara tidak langsung saya dapat menambah thaqafah saya tentang ibadah zakat ini.
READ MORE -

H1N1

Friday, August 14, 2009


Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.

Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.

Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Apa itu Fasa Mitigasi (Peredaan)

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.

Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?

  1. Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun

  2. Individu berusia 65 tahun dan ke atas

  3. Kanak-kanak dan remaja (<>
  4. Wanita mengandung

  5. Dewasa dan kanak-kanak dengan asma, penyakit pernafasan kronik obstruktif, kegagalan organ, penyakit kardiovascular, hepatik, heamatologikal, neurologik, neuromuscular atau masalah metabolik seperti Diabetes Mellitus

  6. Dewasa dan kanak-kanan yang mengalami daya ketahanan yang rendah (immunosuppression)

  7. Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain

Peranan Masyarakat Semasa Fasa Mitigasi

Masyarakat perlu mengetahui cara virus ini merebak.

  • Influenza A (H1N1) virus berjangkit dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair, (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).

  • Mana-mana individu yang berhubung rapat (lebih kurang 1 meter) dengan individu yang mengalami gejala selesema (demam, bersin, batuk, hidung berair, menggigil, sakit sendi dan lain-lain adalah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit akibat dari titisan cecair.

  • Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah pencegahan berikut:

    1. Amalkan kebersihan diri dan adab batuk yang betul

    2. Amalkan kawalan jangkitan sama ada di rumah, tempat kerja atau pengangkutan awam

    3. Peranan penutup mulut dan hidung (mask) dalam masyarakat

      • Tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan memakai mask di tempat awam. Namun, ia telah digunakan dalam ruang yang sesak/tertutup apabila berhubung dengan individu yang mengalami gejala selesema

      • Individu boleh memakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) di rumah dan di kalangan masyarakat, terutamanya jika mereka berhubung rapat dengan individu yang mengalami gejala influenza, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit.

      • Penggunaan mask membolehkan individu yang mengalami gejala influenza untuk menutup mulut dan hidung mereka bagi menghalang titisan cecair dari tersebar, salah satu kaedah adab batuk yang betul/baik.

      • Surgical mask juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi apabila berada di kawasan yang sesak.

    4. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah, elakkan berhubung rapat dengan ahli keluarga yang lain serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan dari menjangkiti mereka yang menjaga pesakit.

    5. Sekiranya gejala influenza semakin teruk, pesakit hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di hospital.

    6. Sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi mengalami gejala influenza, segera dapatkan rawatan awal

    7. Elakkan berada di kawasan sesak dan seboleh-bolehnya tangguhkan/ batalkan / kurangkan menghadiri majlis keramaian

    8. Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Sumber dan rujukan di sini.
READ MORE -

Berjalan, Melihat, dan Mentafsir

Wednesday, July 29, 2009

Ahmet Fountain

Air Pancut Sultan Ahmed III di luar pagar istana. Tempat tumpuan dan kegiatan rakyat marhaen. Ada empat kepala paip semuanya. Di belakang gerigi besi ada pekerja yang menyediakan sherbet atau minuman percuma untuk hamba rakyat. (sumber)

Topkapi Sarayi atau Muzium Topkapi terletak di belakang sebelah kanan Hagia Sophia. Antara yang menarik ialah pedang Rasulullah dan para sahabat, janggut Baginda, tongkat Nabi Musa dan banyak lagi. Malangnya kami tak dibenarkan untuk mengambil gambar di dalam muzium ini.

Jalan masuk ke Muzium Topkapi

Pintu masuk ke kawasan muzium (dulunya istana Sultan)

"Cantiknya tempat ni!"

Selat Bosphorus di belakang

Muzium Teknologi & Sejarah Islam


Model sebuah alat yang digunakan pada zaman kegemilangan Islam dahulu pada tahun 1260 Masihi. Ia digunakan untuk mengukur diameter matahari dan bulan.

Alat-alat pergigian oleh Al-Zahrawi pada kurun ke-10

Mesin pengangkut air menggunakan kuasa haiwan

Model roda kumparan ini telah digunakan secara meluas di dunia Islam dan masih lagi digunakan di Mesir, Sepanyol, dan India. Model ini dibina dengan merujuk penerangan-penerangan yang terdapat dalam buku Al-Jazari (1200 Masihi).

Buku Pelawat (sila baca kalau nampak)

Basilica Cistern

Ia adalah sebuah sistem pengairan bawah tanah pada zaman empayar Justinian. Tak peliklah di dalamnya terdapat Medusa Head yang hingga sekarang tak diketahui asal-usulnya dan saya pun tak berminat untuk mengkaji. Tetapi saya suka tempat ini kerana ianya sejuk. Mungkin kerana air di bawahnya yang menyejukkan tempat ini.


Orang kata tempat macam ni dah ada dekat Taman Tamadun Islam di Terengganu. Cuma bezanya yang itu di dalam Masjid Kristal dan yang ini di luar ataupun di kawasan lapang. Saya pun tak pasti sebab saya pun belum pernah sampai lagi ke sana. Apapun, bagi yang ingin pergi ke sini hendaklah menaiki bas bernombor 47E atau 47C dari Eminonu dan turun di stesen Miniaturk.

Azhan dengan 'Eyub Mosque'nya

Ustaz Muin mesti jeles sebab kami sampai dulu ke Masjid Al-Aqsa

Dome of the Rock pun!!!


READ MORE -

Selat Bosphorus

Saturday, July 18, 2009

Saya perlu menghabiskan penulisan catatan saya sepanjang saya di Turki kerana sahabat saya, Ahnaf yang kini sedang menuntut di fakulti kejuruteraan mekanikal & elektrik di Seoul University, Korea dan senior saya, Abang Israk, tahun 6 fakulti perubatan di Universiti Ain Shams akan turut ke Turki pada Ogos ini. Mereka meminta saya agar mengupdate blog untuk dijadikan panduan sepanjang mereka berada di sana. Semoga Allah mempermudahkan safar mereka.

BOSPHORUS CRUISE

Saya dan Azhan siap awal pagi itu. Kami excited untuk menikmati sarapan pagi seperti yang dijanjikan dalam pakej kami selama seminggu itu. Kami membayangkan makanan yang sedap-sedap seperti omlet, lazagnia dan sebagainya. Tengok-tengok roti biasa saja. Walau apapun, kami tetap bersyukur di atas nikmat kerana berapa ramai saudara-saudara seIslam kita seperti di Palestin dan sebagainya yang tak dapat makan selama beberapa hari.

Menikmati sarapan pagi berlatar belakangkan Laut Marmara

Aktiviti kami pada hari ini memang sudah terdapat di dalam jadual pihak travel agent. Ia termasuk dalam bayaran kami bersama-sama tiket flight dan hotel. Seawal pagi kami menunggu bas di lobi hotel. Kami kemudian dibawa ke Kabatas di mana terdapat banyak bot-bot dan feri di situ. Kami dibawa menaiki feri itu untuk menyusuri Selat Bosphorus iaitu selat yang memisahkan Turki di antara dua benua, iaitu Benua Asia dan Benua Eropah.

"Sejuk jugak ni," kata Hisham. Kami tak dapat membayangkan bagaimana sahabat-sahabat kami yang pernah datang pada musim sejuk dahulu. Mesti lagi sejuk.

Feri yang akan membawa kami

Dolmabache Camii (Masjid Dolmabache)

Dolmabache (Bangunan Pentadbiran Zaman Khalifah Othmaniyyah - Kamal Ataturk)

Bosphorus Bridge

Terdapat dua jambatan yang menghubungkan antara Turki di Benua Asia dan Turki di Benua Eropah ; Bosphorus Bridge dan Ataturk Bridge. Kedua-dua jambatan ini ialah jambatan gantung. Cuba anda lihat betul-betul. Kedua-dua tiang jambatan ini terletak di atas tanah di darat dan tiada tiang penyokong pun di bahagian air. Bahagian tengah jambatan ini disokong oleh kabel-kabel yang disambungkan di setiap bahagian jambatan ini dan diakhirkan di kedua-dua tiang jambatan ini. Untuk mengelakkan kedua-dua tiang ini tumbang, ia ditarik oleh dua kabel yang kuat pada hujung atas tiang-tiang itu yang seterusnya dibenamkan ke dalam tanah. Dengan ini, kapal-kapal besar boleh melalui selat ini dengan mudah.

Berlatar belakangkan Kubu Sultan Muhammad Al-Fatih

Solat Jumaat di Masjid Dolmabache

Dolmabache

Seusai solat Jumaat dan berehat-rehat, kami meneruskan aktiviti kami dengan melawati Dolmabache iaitu sebuah bangunan pentadbiran dan kediaman para Khalifah Othmaniyah senhinggalah ke zaman Mustafa Kamal Ataturk.

Bersama tentera pengawal keselamatan

Ia dibina pada tahun 1456 Masihi oleh Sultan Abdul Majid I. Beliau tidak sempat untuk mendiami Dolmabache kerana beliau meninggal dunia beberapa tahun selepas itu. Kemudian ia diduduki oleh adiknya, Sultan Abdul Aziz I.

Ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian Salam untuk bangunan pentadbiran dan tetamu dan bahagian Haram untuk kediaman pemerintah pada zaman itu. Terdapat 16 bahagian untuk tetamu dan 285 buah bilik di dalamnya. Ia dilengkapi dengan kristal dan chandelier yang beratnya lebih kurang 1 hingga 1.5 tan.

Mustafa Kamal Ataturk pernah tinggal 4 tahun di situ dan meninggal dunia juga di situ pada tahun 1938 ketika usia beliau 57 tahun. Beliau dikhabarkan meninggal dunia kerana disebabkan penyakit hati iaitu cirrhosis. Kemudian kami diberitahu jenazah beliau dikebumikan di Ankara, ibu negara Turki sekarang.

Tidak ada seorang pun di antara kami mahupun pelancong-pelancong asing yang bertanyakan di manakah lokasi tepat beliau dikebumikan di Ankara. Kerana kita semua sedia maklum bahawa jenazah beliau tidak diterima bumi kerana dosa beliau yang menjatuhkan sistem khalifah di muka bumi ini.

Ayuh sahabat-sahabat, bangunlah dari lenamu! Perjuangkan kembali sistem khalifah yang pernah tertegak!

First time kami bergambar 3 orang

Azhan sedang membalas mesej 'seseorang'

Terserempak dengan 2 orang pelajar UK (Iskandar dan seorang lagi tak ingat nama)
READ MORE -

Azhan Sudah Jatuh Cinta!!!

Wednesday, July 15, 2009

Seusai solat Zohor, kami pun memulakan langkah. Destinasi pertama kami ialah money changer. Susah juga nak cari money changer di kawasan hotel kami menginap. Hampir-hampir setengah jam kami berpusing-pusing di tempat yang sama. Sudahla panas terik waktu-waktu macam tu. Tanya orang dia cakap kat situ. Tanya orang lain, lain pula arahnya. Entah orang ke berapa baru kami menjumpai money changer. Rupa-rupanya kami hanya tersalah jalan. Kalau kami terus sahaja mencari di Mustafa Kamal Street itu cukup banyak money changer. Tapi apakan daya, segala-galanya Allah yang atur. Akhirnya setiap daripada kami menukar lebih kurang 200-250 euro seorang.

Keletihan

Selepas itu kami meneruskan langkah. Kami ingin ke Masjid Sultan Ahmet atapun lebih dikenali dengan Masjid Biru dan Hagia Sofia. Sekali lagi kami diuji untuk mencari stesen metro. Padahal depan mata saja. Tapi biasalah tempat orang. Tambahan pula orang-orang Turki boleh dikatakan tidak fasih berbahasa Inggeris. Akhirnya selepas bersusah payah, kami berjaya membeli token ataupun dalam bahasa Turki dipanggil Jeton untuk ke stesen Sultanahmet.

Muka puas selepas jumpa stesen metro Aksaray

Rupa-rupanya tambang untuk setiap pengangkutan awam di Turki sperti metro, tram, feri, dan bas berharga 1.50 lira tanpa mengira destinasi. Sungguh mudah! Kan bagus kalau Mesir dan Malaysia buat macam ni.

JUJUR

"Kiranya orang-orang kat sini semua jujur-jujur belaka la," Azhan membuat kesimpulan. Ya, memang semua orang-orang di sana jujur-jujur belaka. Masakan tidak, jika anda tidak membeli token itu pon anda boleh menaiki metro kerana anda boleh naik ke stesen melalui tengah-tengah landasan metro. Kalau di Mesir yang dikawal rapi pun masih ada orang yang menipu.

Metro (gambar dari atas bas)

Akhirnya kami tiba di stesen Sultanahmet selepas melalui beberapa stesen seperti Laleli Universiti dan Grand Bazaar. "Alhamdulillah, sampai jugak kita kat sini. Sebelum ni dok tengok dalam buku sejarah ja," detik hati saya. Oleh kerana ketika itu hampir-hampir dengan waktu Asar, Azhan mencadangkan agar kami masuk ke Hagia Sophia dahulu dan selepas itu boleh bersembahyang Asar di Masjid Biru.

HAGIA SOPHIA

Terletak betul-betul bertentangan dengan Masjid Biru. Pada zaman kerajaan Bizantin menguasai Kota Konstantinapol, ia adalah sebuah gereja. Tak silap saya antara gereja yang terbesar ketika itu. Sehingga kini terdapat lambang salib yang masih kekal di dalamnya. Kemudian apabila Kerajaan Othmaniyah yang diketuai oelh Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya menakluki Kota Konstantinapol pada 1453 Masihi, ianya ditukar kepada masjid. Malangnya apabila jatuhnya Khilafah Islamiyah di tangan orang Islam sendiri iaitu Mustafa Kamal Attarturk, ianya dijadikan sebuah muzium sehingga kini.

Di tengah-tengah taman antara Hagia Sophia dan Masjid Biru

Tak kurang juga benda-benda yang khurafat dan sesat yang ada dalam Hagia Sophia. Antara yang popular ialah Wish Column. Dikatakan sesiapa yang berjaya memasukkan ibu jari ke dalam lubang pada tiang Hagia Sophia ini boleh membuat apa-apa saja permintaan dan permintaan itu akan dimakbulkan! Senanglah kalau macam tu. Tak payah susah-susah baca buku pun boleh dapat mumtaz!

Bid'ah Dholalah!!!

Agak lama juga kami di Hagia Sophia. Jam sudah menunjukkan pukul 4 lebih. Tetapi azan Maghrib masih belum kedengaran. Akhirnya saya teringat akan software Athan dalam handphone saya. Saya tukarkan location ke Istanbul dan barulah kami tahu waktu Asar di sana pada jam 5.30 petang, Maghrib 8.40 malam, Isyak 10.40 malam, dan Subuh jam 3.30 pagi! Nasib baiklah berjalan dengan tok wali Azhan. Sekurang-kurangnya Subuh kami terjaga. :).

MASJID BIRU

Kami mengambil peluang masa yang ada sebelum masuk waktu Maghrib untuk bersiar-siar di sekitar kawasan Masjid Biru. Alhamdulillah, tempat sebegitu memang menjanjikan seribu ketenangan! Sunyi dari hiruk-pikuk dan bunyi bising seperti di Mesir. Sesuai sebagai destinasi pelancongan pasca peperiksaan. Kami berehat di kerusi yang terdapat di taman yang terletak di antara Masjid Biru dan Hagia Sophia itu sambil menikmati udara petang dan keenakan buah tembikai di musim panas.

Di hadapan Masjid Sultanahmet

Apabila tiba waktu Asar, kami pun bergerak menuju ke dalam masjid. Ternyata ketenangan yang dirasai berlipat-lipat kali ganda. Suasana masjid yang bersih, udara yang nyaman, dan tenang pasti menambat hati para jemaah. Selepas solat, bilal akan membaca wirid secara kuat dan diikuti dengan para jemaah. Selesai wirid, tuan imam akan membaca Al-Quran secara tarannum agar para jemaah dapat taddabbur atau menghayati apa yang yang dibaca oleh beliau. Ya Allah, sungguh hati ini merindukan suasana sebegini!

JATUH CINTA

"Ish Zul, aku rasa aku nak mai lagi la Turki," Azhan memberitahu. Saya tersenyum dan mengangguk. Tidak hairanlah jika sesiapa yang sudah sampai ke sana akan terpesona dengan keindahan bumi Turki. Tak kiralah kecantikan lahiriyah ataupun ruhiyah. Yang pastinya setiap jiwa akan tertambat dengan segala keindahannya itu. Tak terkecuali dengan kami. Dan orang yang mula-mula mengungkapkan kata-kata cintanya ialah Azhan.

Azhan sudah jatuh cinta!!!

Jatuh cinta dengan Turki!
READ MORE -

Turki

Monday, July 13, 2009

Ramai sangat orang suruh saya update pasal Turki. Saya bukan tak nak update, tapi buku hijau saya hilang. Dalam buku itulah saya tulis segala catatan perjalanan saya ketika berada di Turki. Saya sedar ianya hilang semasa kami berada di kawasan Muzium Topkapi. Lalu saya amanahkan Hisham dan rombongan seterusnya untuk menjejaki buku kesayangan saya itu. Tapi usaha mereka menemui kegagalan.

Hanya tinggal kenangan

Jadi, saya akan cuba tulis apa yang saya ingat. Maaf atas segala maklumat yang tercicir. Semoga apa yang tulis akan menjadi panduan kepada sahabat saya, Ahnaf yang sedang menuntut di Korea yang akan turut menziarahi bumi Turki awal Ogos ini.

HARI PERTAMA

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen lebih kurang jam 7 pagi waktu tempatan. Perjalanan yang memakan masa kira-kira 2 jam itu tidaklah terlalu membosankan. Kami menaiki penerbangan Air Cairo yang boleh saya katakan semacam Air Asia. Lapangan terbang itu pun semacam LCCT. Patutlah tiket kami murah sangat. Rupa-rupanya kami menaiki penerbangan tambang murah. Dengan hanya LE 2500 kami sudah dapat menikmati tawaran tiket Cairo-Istanbul pergi dan balik serta penginapan di hotel 3 bintang selama seminggu di sana.


Air Cairo

Dan sememangnya lapangan terbang ini mempunyai usaha sama dengan Malaysia Airport kerana terdapat satu banner 'Malaysia Airport'. Terasa macam berada di KLIA pula. Kami bangga menjadi anak Malaysia!

Gambar sebelum balik

Kemudian kami menaiki bas untuk ke hotel. Saya pun tak ingat berapa jauh jarak antara hotel dengan airport. Saya mengantuk lalu tertidur di dalam bas. Selepas selesai urusan check-in, kami semua tidur keletihan. Saya, Azhan, dan Hisham membuat keputusan untuk memulakan ziarah selepas Zohor.

Hotel Babil

Bersambung...



READ MORE -

Makluman

Wednesday, June 24, 2009

Masjid Biru - Gambar Ehsan Faqih

Saya akan berehat daripada menulis selama seminggu kerana akan bercuti di Turki.

Saya, Azhan, dan Hisham akan bertolak dari airport jam 5.00 pagi esok dengan menaiki penerbangan Air Cairo.

InsyaAllah kami akan kembali pada 2 Julai nanti.

Doakan semuanya selamat.

Kami juga akan mendoakan kalian sepanjang tempoh musafir kami.

Minta maaf banyak-banyak.

Panjang umur jumpa lagi.

فَسِيْرُوا فِى الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَقِبَةُ الْمُكَذِّبِيْنَ

"Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)." [An Nahl, 16: 36]

Sesiapa yang akan turut menziarahi bumi Turki selepas ini boleh lah membuat sedikit persediaan dengan membaca artikel-artikel bermanfaat di link-link berikut:

1) http://kembaraturki.wordpress.com

2) http://al-aman.blogpsot.com

3) http://saifulislam.com [klik Diari Kembara-Turki pada ruangan Artikel]
READ MORE -

 
Zulfahmi Haron - Design by: Searchopedia convertido para o Blogger por TNB Tested by Blogger Templates