Followers

Monday, September 14, 2009

Berzakat Membawa Berkat

Kad Kuasa

"Inilah zakat fitrah yang wajib ke atas saya dan tanggungan saya pada tahun ini kerana Allah Taala," lafaz salah seorang pembayar zakat.

"Saya terima zakat fitrah ini bagi pihak Jabtan Zakat Negeri Kedah kerana Allah Taala," sambut saya dan seterusnya disusuli dengan doa agar ibadah zakat itu mendapat keberkatan daripada Allah Taala.

"Semoga Allah memberi ganjaran ke atas apa yang kamu berikan, dan memberkati ke atas apa yang berbaki (dalam simpanan kamu), dan menjadikan kamu di kalangan orang-orang yang suci, ameen Ya Rabb 'aalameen," begitulah lebih kurang maksud doa yang dibacakan.

Moga-moga dengan zakat yang ditunaikan itu mendapat berkat di sisi Allah Taala. Kenapa keberkatan amat penting dalam kehidupan seharian? Kerana dengan keberkatan lah orang yang pendapatannya tak seberapa tetapi masih mampu menanggung keperluan hidup dengan bilangan anak-anak yang ramai. Berapa ramai orang-orang yang kaya raya tetapi wang yang ada masih dirasakan tidak cukup untuk menampung keperluan harian? Disitulah terletaknya nilai apa yang dinamakan sebagai KEBERKATAN..

Beginilah rutin tahunan saya semenjak tahun lepas apabila pulang bercuti di bulan Ramadhan. Syabas saya ucapkan kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah kerana mengambil inisiatif untuk membuka kaunter-kaunter zakat fitrah di pusat-pusat membeli belah seperti di Tesco, Giant, dan sebagainya sebagai usaha untuk mempermudahkan umat Islam di negeri Kedah khususnya untuk menunaikan RUKUN ISLAM yang ketiga dalam bulan yang berkat ini.

Antara soalan-soalan lazim yang saya terima ketika bertugas sebagai amil zakat fitrah ialah :

1) Bolehkah saya bayar zakat untuk kedua ibu bapa saya?

2) Adakah zakat pembantu rumah terletak di atas tanggungjawab saya?

3) Perlukah saya membayar zakat untuk bayi yang masih dalam kandungan?

4) Perlukah saya membayar zakat untuk arwah ibu atau bapa saya?

Dan banyak lagi soalan-soalan mencabar kerana ia bukanlah dalam bidang saya. Namun, saya terpaksa bersedia dengan soalan-soalan ini dan secara tidak langsung saya dapat menambah thaqafah saya tentang ibadah zakat ini.