Followers

Monday, July 13, 2009

Turki

Ramai sangat orang suruh saya update pasal Turki. Saya bukan tak nak update, tapi buku hijau saya hilang. Dalam buku itulah saya tulis segala catatan perjalanan saya ketika berada di Turki. Saya sedar ianya hilang semasa kami berada di kawasan Muzium Topkapi. Lalu saya amanahkan Hisham dan rombongan seterusnya untuk menjejaki buku kesayangan saya itu. Tapi usaha mereka menemui kegagalan.

Hanya tinggal kenangan

Jadi, saya akan cuba tulis apa yang saya ingat. Maaf atas segala maklumat yang tercicir. Semoga apa yang tulis akan menjadi panduan kepada sahabat saya, Ahnaf yang sedang menuntut di Korea yang akan turut menziarahi bumi Turki awal Ogos ini.

HARI PERTAMA

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen lebih kurang jam 7 pagi waktu tempatan. Perjalanan yang memakan masa kira-kira 2 jam itu tidaklah terlalu membosankan. Kami menaiki penerbangan Air Cairo yang boleh saya katakan semacam Air Asia. Lapangan terbang itu pun semacam LCCT. Patutlah tiket kami murah sangat. Rupa-rupanya kami menaiki penerbangan tambang murah. Dengan hanya LE 2500 kami sudah dapat menikmati tawaran tiket Cairo-Istanbul pergi dan balik serta penginapan di hotel 3 bintang selama seminggu di sana.


Air Cairo

Dan sememangnya lapangan terbang ini mempunyai usaha sama dengan Malaysia Airport kerana terdapat satu banner 'Malaysia Airport'. Terasa macam berada di KLIA pula. Kami bangga menjadi anak Malaysia!

Gambar sebelum balik

Kemudian kami menaiki bas untuk ke hotel. Saya pun tak ingat berapa jauh jarak antara hotel dengan airport. Saya mengantuk lalu tertidur di dalam bas. Selepas selesai urusan check-in, kami semua tidur keletihan. Saya, Azhan, dan Hisham membuat keputusan untuk memulakan ziarah selepas Zohor.

Hotel Babil

Bersambung...



Wednesday, June 24, 2009

Makluman

Masjid Biru - Gambar Ehsan Faqih

Saya akan berehat daripada menulis selama seminggu kerana akan bercuti di Turki.

Saya, Azhan, dan Hisham akan bertolak dari airport jam 5.00 pagi esok dengan menaiki penerbangan Air Cairo.

InsyaAllah kami akan kembali pada 2 Julai nanti.

Doakan semuanya selamat.

Kami juga akan mendoakan kalian sepanjang tempoh musafir kami.

Minta maaf banyak-banyak.

Panjang umur jumpa lagi.

فَسِيْرُوا فِى الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَقِبَةُ الْمُكَذِّبِيْنَ

"Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)." [An Nahl, 16: 36]

Sesiapa yang akan turut menziarahi bumi Turki selepas ini boleh lah membuat sedikit persediaan dengan membaca artikel-artikel bermanfaat di link-link berikut:

1) http://kembaraturki.wordpress.com

2) http://al-aman.blogpsot.com

3) http://saifulislam.com [klik Diari Kembara-Turki pada ruangan Artikel]

Tuesday, June 23, 2009

Mim Sad Ra'

Salah satu Mua'af di Asyir Syarqiyyah


"Entu mish fil qahirah! Entu fi balad taniah!"


"Kamu bukan di Kaherah! Kamu dekat tempat lain ni!"

Begitulah kata-kata ammu (pak cik) yang jual tokmiyah (sejenis makanan di Mesir) itu kepada kami. Kisah ini berlaku dua hari yang lepas. Ketika itu saya, Azhan, dan Zulkifli hendak menuju ke Hayyu Asyir (Seksyen 10). Tetapi lain pula jadinya.

DARI AIRPORT

Selepas menghantar rakan-rakan kami yang ingin pergi bercuti di airport baru (Terminal 3), kami bertiga pun berpatah balik ke tramco (van yang digunakan untuk membawa penumpang di Mesir) yang kami naiki dari Tanta tadi. Selepas berbincang, pemandu tramco hanya bersetuju untuk menghantar kami ke Mau'af Salam (Perhentian Salam) dengan alasan beliau tidak mempunyai tasrih (pas masuk) ke Hayyu Asyir. Katanya dari situ kami boleh ke Hayyu Asyir dengan menaiki tramco yang lain.

Selepas membayar duit kepada pemandu berkenaan, kami pun menuju ke tempat perhentian tramco tersebut. Memang ternyata terdapat tramco ke Asyir di situ. Selepas membayar tambang LE 2.25 seorang, tramco pon bergerak. "Mahalnya dua genih rubu'! Padahal dekat je," detik hati saya. Tetapi saya diamkan saja.

Dalam perjalanan, kami mengambil peluang untuk berborak selepas lama tidak dapat peluang sebegini dek kerana hambatan peperiksaan. Azhan menghubungi kawannya di Hayyu Asyir untuk menyediakan makanan tengahari untuk kami. Dalam perjalanan, Zulkifli menegur saya tentang warna teksi yang berwarna merah putih di Zagaziq. Saya pun tak pasti kerana sepatutnya teksi di Kaherah berwarna hitam putih.

TAK SEDAR LAGI

Seorang demi seorang penumpang turun. Akhirnya tinggal kami berenam (tambah pemandu dan 2 orang penumpang lain di hadapan). Saya dah mula pelik kenapa kami tiba di satu perhentian yang lain dan bukannya di bawabat seperi di Hayyu Asyir. Saya dah mula tak sedap hati. Dalam keadaan yang masih optimis, saya bertanyakan pemandu itu bagaimana cara kami untuk ke Suq Sayyarat (Pasar Jual Kereta). Dengan yakin, beliau menjawab, "Kamu tahan teksi dan bayar 2 genih,".

Alangkah terkejutnya saya apabila teksi pertama yang kami tahan itu hendak 80 genih! Hati saya mendengus, "Eleh, dia ingat dia boleh tipu aku?!". Teksi itu pun berlalu memandangkan kami tak bersetuju dengan harga yang ditawarkannya. Azhan mengambil keputusan untuk bertanyakan ammu-ammu yang sedang melepak-lepak di tepi jalan. Ammu-ammu itu pun menyarankan kami agar menaiki teksi. Ada seorang ammu itu tanya, "Kamu nak buat apa pergi Suq Sayyarat? Kamu nak beli kereta ke? Kamu ni orang Syria ke?". "Tak, kami orang Malaysia," jawab Azhan acuh tak acuh.

SESAT

Tetapi usaha kami gagal. Semua teksi tak mahu pergi ke tempat itu. "Kita sesat paa! Abang Hanif dulu pernah kena dah sekali," Azhan membuat andaian. Kali ini saya sudah sedikit yakin dengan kata-kata Azhan. Lalu kami mengambil keputusan untuk mengesahkan bahawa kami betul-betul tersesat. Lalu keluarlah dialog seperti di awal entri ini dari mulut penjual tokmiyah tadi.

"Dugaan, dugaan," kata Zulkifli.

"Ni semua tarbiyah dari Allah ni," Azhan membuat kesimpulan.

Patut la tambang tramco tadi mahal sangat.

Patutla teksi kat situ berwarna merah putih.

Patut la ammu tu kata kami orang Syria sebab tak ada orang Malaysia yang pernah ke situ.

Patut la teksi tadi nak 80 genih sebab jauh.

Akhirnya, saya terpaksa akur dengan ujian ini bahawa kami memang betul-betul telah tersesat. Kami telah tersesat jauh kira-kira 50 km di timur Mesir. Sebab itu teksi-teksi di kawasan itu berwarna merah putih kerana kami ketika itu berada di Muhafazah Syarqiyyah (Wilayah Timur) di bumi anbiya' ini.


Zulkifli yang haus dan Azhan yang tension

ADA LAGI

Cerita tidak berakhir di situ saja, semasa menunggu bas yang akan kami naiki untuk ke Ramsis, saya mulai pelik kerana setiap orang yang masuk akan memeriksa tiket di tangan. "Kena beli tiket ke?," saya tanya Azhan. Kelam kabut saya turun dari bas untuk membeli tiket. Nak dijadikan cerita, penjual tiket itu tak ada duit baki. Terpaksalah saya bersusah payah membeli sesuatu untuk menyediakan duit yang secukupnya.

Masa saya sampai ke kaunter tiket, tak ada orang yang ingin membeli tetapi selepas saya mendapatkan duit kecil ramai pula orang. "Habislah aku kalau kena tinggal. Dah la beg aku ada dalam bas," bisik hati saya. Akhirnya kami dapat tiket yang ketiga terakhir dengan harga LE 2.75 seorang. Alhamdulillah. Kalau tak, penat nak kena tunggu bas penuh. Selepas 1 jam 15 minit perjalanan, kami selamat sampai di Ramsis.

Bas yang kami naiki untuk ke Ramsis

'IBRAH


Betullah orang cakap Mesir ini Mim=Musibah, Sad=Sabar, Ra'=Redha. Terpulanglah kepada para pembaca sekalian untuk membuat kesimpulan. Yang penting kita mengambil pengajaran dan ibrah di sebalik setiap kejadian. Sesat jalan lebih mudah untuk berpatah balik berbanding sesat hati dan amalan. Kalau Allah dah bagi signs tu, jangan tunggu lama-lama untuk berpatah balik dari 'kesesatan' kita itu.

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

"(Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu; kerana sesungguhnya Engkau Maha Pemberi (kurnia).""[Ali 'Imran 3: 8]

Amalkanlah doa ini selalu selepas solat fardhu.

Wallahua'lam.

Saturday, June 20, 2009

Another Point Of View


"Seperti mana Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam surah al-Baqarah. Bismillahirrahmanirrahim...

يَأَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوْا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِيْنٌ

SadaqAllahul-Azim," ustaz itu terus menghuraikan ayat yang dibacanya itu.

BIASA

Dalam ayat 208 surah al-Baqarah ini, Allah SWT ingin berbicara dengan kita tentang soal kesyumulan ataupun kesuluruhan sesuatu perkara. Mari kita renungkan maksud penuh ayat tersebut:

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kesuluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan itu. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu."

Yang biasa kita dengar selalunya ustaz-ustaz akan menghuraikan ayat ini dengan mengaitkan bahawa agama Islam yang kita anuti ini sudah cukup sempurna. Sesiapa yang memisahkan antara politik dan agama bermakna mereka tidak mengamalkan Islam itu secara total. Kerana sesungguhnya Islam itu memang syumul. Semua perkara seperti ekonomi, pendidikan, ketenteraan dan sebagainya telah sedia bernaung di bawah Islam.



LAIN DARI YANG LAIN

Tetapi ustaz itu menghuraikan ayat ini dengan another point of view. Saya amat tertarik dengan cara beliau menghuraikan ayat itu. Tidak pernah terlintas di akal fikiran saya bagaimana beliau boleh nampak pengajaran ayat itu dari sudut yang berbeza. Beliau berkata mengikut kaedah qiraat, ayat itu boleh dibaca dengan dua wajah. Wajah yang pertama dibaca dengan baris bawah pada huruf sin iaitu as-silmi yang membawa maksud Islam. Manakala wajah kedua dibaca dengan baris atas iaitu as-salmi yang membawa maksud keselamatan dan kesejahteraan.

Beliau berkata kalimah kaaffah dalam ayat ini membawa makna keseluruhan. Beliau berkata kita hendaklah melibatkan diri kita dengan jemaah Islam secara keseluruhan dan maksimum. Bukan sahaja kaki dan tangan sahaja yang bekerja malah akal fikiran turut sama bekerja untuk Islam. Lebih dari itu, kita hendaklah menjiwai segala amal Islami kita itu sepenuh hati.

Lihat sahabat-sahabat. Betapa hebatnya ayat quran yang 1 itu boleh dilihat dari pelbagai sudut. Itulah mukjizatnya ayat-ayat Al-Quran.


Friday, June 19, 2009

Jumaat Yang Tercemar

Gambar Hiasan

"Kallim birraahah!"

3 kali kalimah itu diulang-ulang.

Semakin lama semakin kuat bunyinya.

Langkah saya terhenti. Hati sudah membuat andaian bahawa ini mesti arab bergaduh. Saya menoleh ke belakang. Sangkaan saya tepat! Mula-mula lawan cakap saja. Pergaduhan bertambah 'panas' apabila salah seorang daripada kumpulan arab itu bertindak mengambil besi berbentuk L yang kalau di Malaysia digunakan sebagai tapak atau tiang sokongan untuk pagar berdawai.

Lelaki itu dipukul berkali-kali dengan besi itu. Mujur tidak ada darah yang terpancut keluar dari badannya. Tak cukup dengan itu salah seorang lelaki lain bertindak besi panjang yang digunakan untuk menarik pintu garaj kedai kasut yang baru dibuka berdekatan masjid Maaidah itu. Saya ingatkan lelaki itu bertindak mempertahankan mangsa yang kena pukul itu. Rupa-rupanya dia tolong tambah lagi.

Astaghfirullah!

Semua ahli bait saya yang berjalan lebih hadapan dari saya turut berpatah balik kerana terdengar suasana yang kecoh itu. Orang ramai berusaha meleraikan pergaduhan. Saya kenal lelaki yang kena pukul itu. Dia tinggal di atas masjid dekat rumah saya. Entah apa salahnya saya pun tak tahu.

Begitulah.

Arab Mesir memang terkenal dengan sifat mereka yang suka bergaduh. Tak kira hari tak kira waktu. Padahal dalam khutbah Jumaat tadi, tuan imam baru saja menyebut tentang taqwa. Imtisal awamirihi wa Ijtinab nawahihi. Menunaikan perintah Allah dan menjauhi laranganNya . Entah mereka dengar atau tak khutbah itu saya pun tak pasti. Ataupun dek kerana selalu sangat dengar kata-kata seperti itu sehingga tak memberi kesan kepada jiwa.

Firman Allah Subhanahu Wa Taala:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ إِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوْبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَتُهُ زَادَتْهُمْ إِيْمَنًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُوْنَ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal" [al-Anfaal 8: 2]

SIFAT MUKMIN

Salah satu daripada sifat mukmin yang disebut oleh Allah dalam ayatNya dalam surah Al-Anfaal ini ialah mereka yang apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati-hati mereka. Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereke kerananya.

Kita bagaimana? Adakah kita tergolong dalam golongan mukminin ini? Jika tidak marilah kita sama-sama bermuhasabah. Koreksi diri di manakah kedudukan kita di sisi Allah. Adakah taqwa kita semakin bertambah setiap hari atau sebaliknya? Marilah sama-sama kita tambah ketaqwaan kita kepada Allah kerana sebaik-baik pertambahan adalah TAQWA!

AHLI BAIT

Bagi mereka yang ada masalah dengan ahli bait hendaklah diselesaikan. Jangan simpan dalam hati, kelak akan dihamburkan kesemuanya bak kata kawan saya. Biasalah masalah dengan ahli bait. Kalau dengan ahli bait pun kita tak boleh nak settle, jangan harap kita boleh handle masalah dengan masyarakat sekeliling nanti. Setiap perkara ada jalan penyelesaiannya.

Berbincanglah.