Followers

Wednesday, June 17, 2009

Yui & Chikungunya

DSC00388

Shahirul a.k.a Iyoi

"Fahmi, Iyoi kena Chikungunya,"

"Hah?! Ya ka? Lepas tu macam mana?"

"Kena masuk wad la. Bang Li la teman dia kat hospital malam ni,"

"Yang lain-lain macam mana?"

"Mat Anip ja yang boleh cek tadi. Nasib baik negatif. Alhamdulillah la. Zulfa dengan Nina doktor tak bagi cek lagi. Sebab doktor kata kalo demam lebih dari 3 hari baru boleh cek,"

Begitulah serba sedikit perbualan telefon antara saya dan emak petang tadi.

Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina. Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

· Demam panas mengejut

· Sakit teruk pada sendi

· Ruam pada badan

· Sakit kepala Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).

Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.

Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Cara pencegahan penyakit Chikungunya

· Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.

· Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.

· Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.

Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Pengajaran

Doakanlah anak saudara saya ini cepat sembuh. Doakan juga keputusan ujian darah anak-anak saudara saya yang lain juga negatif.

Pesan saya kepada anda yang mempunyai adik atau anak saudara yang masih kecil di Malaysia dan mempunyai simptom-simptom Chikungunya seperti demam eloklah dibawa ke hospital untuk dibuat pemeriksaan.

Sekian.

Tuesday, June 16, 2009

Exam Oo Exam

exam2

Menunggu giliran untuk oral

Dengan ini, saya ingin memohon maaf kepada para pembaca blog saya kerana tidak sempat untuk mengemaskini isi kandungan blog ini.

Hal ini adalah kerana saya sedang menghadapi peperiksaan final saya pada tahun ini.

Masih berbaki 2 paper dan 2 oral.

Doakan kejayaan saya dan rakan-rakan.

InsyaAllah selepas 18 Jun nanti saya akan cuba update semula blog saya.

Sekian, terima kasih.

Selamat Hari Lahir, Adik!

Aidilfitri 2008 008


“La pak cik, la pak cik, Pak Cik Pami!” begitulah lagu yang selalu dia nyanyikan jika saya menelefonnya dari sini.

Entah apa yang dia nyanyi saya pun tak tahu. Ditambah pula dengan sebutannya yang masih pelat. Tapi yang pastinya setiap kali saya mendengar saya pasti ketawa.

ADIK

Hari ini genap 3 tahun umur anak saudara saya yang seorang tu. Muhammad Hanif atau panggilan manjanya, adik dilahirkan pada 22 Mei 2006. Ketika itu saya di sini sedang berhempas pulas menghadapi peperiksaan akhir tahun 1. Ketika itu kakak saya sudah mempunyai seorang anak perempuan, Zulfa, kakak kepada Hanif.

Adik lebih mudah didekati berbanding kakaknya. Adik juga tak banyak perangai. Tapi biasa la kadang-kadang tu. Nama pun budak kecil. Adik juga lebih peramah. Alhamdulillah, setakat ini jika saya menelefon keluarga di Malaysia, adik la yang ringan mulut hendak bercakap dengan saya berbanding anak-anak saudara saya yang lain.

Cuti musim panas tahun lepas saya gunakan sepenuhnya untuk melepaskan rindu dan bermain-main sepuas-puasnya dengan anak-anak saudara saya. Kebetulan pula adik dan Zulfa tinggal dengan emak saya kerana pada masa itu kakak saya sedang mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI) di Ipoh.

Alhamdulillah, pengalaman 3 bulan bersama mereka tidak dapat saya lupakan. Kejap-kejap gaduh. Kejap-kejap baik semula. Begitulah budak-budak. Kadang-kadang hilang sabar juga saya jika mereka buat perangai. Tapi itu semua mengajar kesabaran saya untuk berhadapan dengan masyarakat yang sudah tentunya lebih banyak perangai dan kerenahnya nanti.

Sekarang adik sudah pandai bercakap dengan menggunakan susunan ayat yang betul. Adik juga dah pandai menyanyi lagu-lagu kegemaran kanak-kanak seperti ‘lompat si katak lompat’, ‘air pasang pagi’, ‘kereta kecil’, dan banyak lagi. Setiap pagi, abang ipar saya akan menghantar mereka berdua ke nursery. Selepas balik dari sekolah, kakak saya menjemput mereka balik ke rumah.

ARWAH FIRDAUS

Sepatutnya sudah 3 orang anak kakak saya. Tapi takdir Allah yang menentukan segalanya. Anak sulung beliau, arwah Muhammad Firdaus telah pergi kembali meninggalkan kami sekeluarga ketika Mama dan Abah kepingin benar hendak menimang cucu sulung mereka. Umur arwah tak sampai 24 jam. Arwah meninggal di hospital kerana tak cukup bulan.

Pada ketika itu saya berada di tingkatan 4. Keluarga kami diselubungi kesedihan dalam minggu tersebut terutama kakak saya yang masih lagi menanggung kesakitan selepas Caesarian. Semoga arwah Firdaus ditempatkan di syurga di sisi ibunya kelak. Ameen

PENYEJUK DI MATA PENAWAR DI HATI

وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا (74)

“ Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” Al-Furqan : 74

Adik, pak cik doakan adik dipanjangkan umur dalam keberkatan, dimurahkan rezeki yang halal, dan seterusnya menjadi pejuang agama Allah suatu hari nanti!

Jangan nakal-nakal tau! Dengar cakap Mama dan Abah tau!

Sayang adik!

Selamat Hari Lahir, Adik!

Aidilfitri 2008 052

Cerita Tentang Babi

W


Setelah terbaca entri babi oh babi dalam laman blog Ustaz Salman Maskuri, saya tergerak untuk menulis serba sedikit tentang haiwan ini. Namun saya tidaklah berniat untuk mengulas tentang virus H1N1 tentang selsema babi yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Terdapat 3 jenis parasit yang dipindahkan ke dalam badan manusia daripada babi. Antaranya ialah Taenia solium, Trichinella spiralis, dan Balantidium coli. Pada entri kali ini, saya hanya akan membincangkan tentang Taenia solium, sejenis parasit di bawah kumpulan Cestoda.

SISTISERKOSIS

Penyakit yang disebabkan oleh parasit ini dinamakan sistiserkosis. Ia adalah penembusan tisu-tisu pada badan manusia oleh sistiserkosis selulosa (peringkat larva dalam Taenia solium). Penyakit ini lazimnya didapati di negara-negara yang penduduknya gemar memakan babi.

BAGAIMANA IA BERJANGKIT?

Ia boleh berjangkit melalui pelbagai cara. Pengambilan makanan atau minuman yang tercemar oleh telur-telur parasit ini juga boleh menyebabkan seseorang terkena penyakit ini.

Selain itu, salah satu cara jangkitan lagi ialah autoinfeksi. Terdapat 2 jenis autoinfeksi; luaran dan dalaman. Autoinfeksi luaran bermaksud pesakit yang tercemar pada jari-jarinya dengan parasit dewasa daripada najisnya sendiri.

Manakala autoinfeksi dalaman pula bermaksud pergerakan antiperistalsis pada usus kecil (dalam kes muntah atau pengambilan ubat tahan muntah), segmen gravid dan ovum mungkin terluah kembali ke dalam perut manusia. Segmen ini akan pecah dan membebaskan telur-telur parasit ini. Apabila kembali ke dalam usus kecil, telur-telur ini menetas.

Dalam kes ini, onkosfera akan menembusi dinding usus dan seterusnya masuk ke dalam kitaran vena, bahagian kanan jantung, peparu, bahagian kiri jantung, dan akhirnya ke dalam kitaran sistemik di mana mereka akan berakhir di tisu-tisu yang pelbagai dan membesar kepada sistiserkosis. Tisu-tisu yang paling dijangkiti ialah tisu di bawah kulit, otot, organ dalaman, otak, dan mata.

BAGAIMANA KEADAAN PESAKIT?

Sista ini menghasilkan reaksi sel setempat dan penyusupan dengan neutrofil, eosinofil, dan limfosit. Gambaran klinikal bergantung kepada organ-organ yang dijangkiti dan bilangan sistiserkosis. Dalam organ-organ yang utama (jantung dan otak) manifestasi yang serius berlaku dan mungkin menyebabkan mati; dalam otot rangka pula, jangkitan dan kesakitan pada otot berlaku. Secara amnya, terdapat demam yang sedikit dan eosinofilia (kenaikan eosinofil dalam darah)

HIKMAH PENGHARAMAN

Firman Allah S.W.T :

إِِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيْرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غّيْرَ بَاغٍ وَلاَ

عَادٍ فَلاَ إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللهَ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ

“Allah hanya sanya mengharamkan kepadamu untuk memakan bangkai, darah, babi dan binatang yang disembelih untuk selain Allah. Sesiapa yang makan dalam kemudaratan tanpa melampau dan tanpa berlebih-lebihan maka dia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan maha penyayang. (173 : al-Baqarah)

Berdasarkan fakta-fakta sains di atas dapat disimpulkan bahawa setiap yang berlaku itu ada HIKMAHnya. Namun adalah salah sama sekali jika kita mengatakan SEBAB pengharaman babi adalah seperti di atas kerana jika para saintis tidak menjumpai penyakit ini, maka babi itu tidak haram. Pokoknya, jika para saintis menjumpai atau tidak penyakit ini, hukum babi itu tetap haram kerana ianya adalah perintah Allah.

Karipap Maarad

BAHAN INTI

  1. 1 kg kentang – dipotong dadu
  2. 600 gm bawang besar – dipotong dadu
  3. 800 gm daging lembu – dipotong dadu kecil
  4. 1 biji bawang besar (ditumbuk lumat)
  5. 3 ulas bawang merah (ditumbuk lumat)
  6. 4 ulas bawang putih (ditumbuk lumat)
  7. 1″ halia (ditumbuk lumat)
  8. 1 sudu besar jintan manis (ditumbuk lumat)
  9. 1 paket serbuk kari
  10. ¾ cawan minyak
  11. 1 batang besar kulit kayu manis
  12. 3 sd besar gula
  13. 1 sd besar garam
  14. ½ sd teh msg
  15. 700 ml air

DOH KARIPAP

  1. 1 kg tepung gandum – diayak
  2. 1 sd besar garam
  3. ¾ buku (188gm) lepa susu `Farmcows’
  4. 2 biji telur
  5. 1 cawan ais
  6. 500 ml air

LAIN-LAIN

  1. Minyak untuk menggoreng
  2. Tepung secukupnya untuk mencanai

CARA MEMBUATNYA

Inti

Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis hingga kembang, masukkan bahan tumbuk dan kacau hingga wangi. Bila garing masukkan serbuk kari dan kacau atas api perlahan hingga bergumpal.

Masukkan daging yang telah dicuci dan gaul sebati. Masukkan garam dan serbuk perasa. masukkan air dan biarkan mendidih hingga agak kering baru masukkan msg, gula dan kentang. Kacau hingga mula kering. Masukkan bawang dadu dan kacau sebentar. Angkat dan sejukkan.

Doh

Masukkan tepung dalam mangkuk. Gaulkan bersama air, garam dan ais. Sementara itu gaul tepung dgn telur hingga jadi serbuk roti. Panaskan Farmcows atas api kecil hingga bebuih dan tuang rata2 atas tepung tadi. Gaul lagi hingga jadi serbuk roti – gunakan hujung jari. Masukkan sedikit sedikit air ais bergaram dan gaul hingga jadi doh. Rehatkan 1/2 jam.

Bahagikan doh 4 bahagian (setiap bahagian menghasilkan +-25 keping karipap) dan ambil 1 bahagian canai nipis atas landasan bertepung. gulung ketat2 dan golek hingga jadi selinder berdiameter 1 1/2″. Potong setebal 1/2″ hingga mendapat +- 20 ke 25 ketul. Canai nipis setiap satu (2mm) dan isikan 1 sd besar inti, tutup dan picit untuk menutupkannya, kelim kemas-kemas untuk mengelakkan bocor sewaktu menggoreng. Ulangi proses yang sama hingga habis.

Goreng terendam atas api perlahan – sederhana hingga kuning keemasan.

Tos atas kertas dapur dan hidangkan.

HASIL

DSC00951

SEBELUM

DSC00953

SELEPAS

Dont judge a book by its cover! Belum cuba belum tahu! Inilah aktiviti kami seisi keluarga ketika kebosanan di kala musim peperiksaan. Seperti biasa, Faqih sebagai ketua misi akan memulakan gerak kerja. Semalam gerak kerja bermula pada jam 1.00 pagi di kala semua manusia enak dibuai mimpi. Kerja-kerja membancuh tepung dan menyediakan inti menjadi kemestian.

Dibantu oleh pembantu setia, Syafiq tak terlepas untuk menolong apa-apa yang patut. Hisham juga tak melepaskan peluang dan pengalamannya sebagai pemantau kerja-kerja kami terutamanya dalam penyediaan inti supaya mendapat hasil yang mantap.

Saya macam biasa, tukang pukul gambar dan tukang makan. Tolong jugak tu! :D Sopi terjaga dari tidur jam 4 pagi dek kerana kebisingan kami di dapur. Lalu beliau pun meluru ke dapur dan amat kehairanan dengan gelagat-gelagat kami. Maklumlah, ahli bait baru. Tanpa membuang masa, beliau pun menikmati hasil tangan kami itu.

Malangnya, ahli bait kami yang seorang lagi terlepas untuk menyertai aktiviti tahunan ini. Mat tidur denga nyenyaknya. Pagi tadi baru beliau tersedar dan kesedihan kerana katanya kami tak kejutkan beliau. Sebagai ganti rugi, kami memberi beliau makan karipap itu sepuas-puasnya.

Selepas itu kami bersembahyang Subuh secara berjamaah yang diimamkan oleh ketua misi. Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk sujud Sajdah pagi ini setelah sekian lama. Ya Allah, peliharalah dan eratkanlah ukhuwah sesama kami hingga ke syurgaMu!