Followers

Tuesday, June 16, 2009

Selamat Hari Lahir, Adik!

Aidilfitri 2008 008


La pak cik, la pak cik, Pak Cik Pami!” begitulah lagu yang selalu dia nyanyikan jika saya menelefonnya dari sini.

Entah apa yang dia nyanyi saya pun tak tahu. Ditambah pula dengan sebutannya yang masih pelat. Tapi yang pastinya setiap kali saya mendengar saya pasti ketawa.

ADIK

Hari ini genap 3 tahun umur anak saudara saya yang seorang tu. Muhammad Hanif atau panggilan manjanya, adik dilahirkan pada 22 Mei 2006. Ketika itu saya di sini sedang berhempas pulas menghadapi peperiksaan akhir tahun 1. Ketika itu kakak saya sudah mempunyai seorang anak perempuan, Zulfa, kakak kepada Hanif.

Adik lebih mudah didekati berbanding kakaknya. Adik juga tak banyak perangai. Tapi biasa la kadang-kadang tu. Nama pun budak kecil. Adik juga lebih peramah. Alhamdulillah, setakat ini jika saya menelefon keluarga di Malaysia, adik la yang ringan mulut hendak bercakap dengan saya berbanding anak-anak saudara saya yang lain.

Cuti musim panas tahun lepas saya gunakan sepenuhnya untuk melepaskan rindu dan bermain-main sepuas-puasnya dengan anak-anak saudara saya. Kebetulan pula adik dan Zulfa tinggal dengan emak saya kerana pada masa itu kakak saya sedang mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI) di Ipoh.

Alhamdulillah, pengalaman 3 bulan bersama mereka tidak dapat saya lupakan. Kejap-kejap gaduh. Kejap-kejap baik semula. Begitulah budak-budak. Kadang-kadang hilang sabar juga saya jika mereka buat perangai. Tapi itu semua mengajar kesabaran saya untuk berhadapan dengan masyarakat yang sudah tentunya lebih banyak perangai dan kerenahnya nanti.

Sekarang adik sudah pandai bercakap dengan menggunakan susunan ayat yang betul. Adik juga dah pandai menyanyi lagu-lagu kegemaran kanak-kanak seperti ‘lompat si katak lompat’, ‘air pasang pagi’, ‘kereta kecil’, dan banyak lagi. Setiap pagi, abang ipar saya akan menghantar mereka berdua ke nursery. Selepas balik dari sekolah, kakak saya menjemput mereka balik ke rumah.

ARWAH FIRDAUS

Sepatutnya sudah 3 orang anak kakak saya. Tapi takdir Allah yang menentukan segalanya. Anak sulung beliau, arwah Muhammad Firdaus telah pergi kembali meninggalkan kami sekeluarga ketika Mama dan Abah kepingin benar hendak menimang cucu sulung mereka. Umur arwah tak sampai 24 jam. Arwah meninggal di hospital kerana tak cukup bulan.

Pada ketika itu saya berada di tingkatan 4. Keluarga kami diselubungi kesedihan dalam minggu tersebut terutama kakak saya yang masih lagi menanggung kesakitan selepas Caesarian. Semoga arwah Firdaus ditempatkan di syurga di sisi ibunya kelak. Ameen

PENYEJUK DI MATA PENAWAR DI HATI

وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا (74)

“ Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” Al-Furqan : 74

Adik, pak cik doakan adik dipanjangkan umur dalam keberkatan, dimurahkan rezeki yang halal, dan seterusnya menjadi pejuang agama Allah suatu hari nanti!

Jangan nakal-nakal tau! Dengar cakap Mama dan Abah tau!

Sayang adik!

Selamat Hari Lahir, Adik!

Aidilfitri 2008 052

1 comment:

  1. wad mak aku sebelah wad kak en dulu..haha aku ingat lagi...

    ReplyDelete